Saturday, January 2, 2010

Panduan Pemakanan Ibu Mengandung

Selamat datang tahun 2010....Semestinya azam saya pada tahun ini ingin menjadi seorang ibu...Penantian yang sangat dinantikan..InsyaAllah...Oklah kali ini saya ingin berkongsi mengenai panduan pemakanan ibu mengandung.Semasa mengandung seorang bakal ibu perlu menitikberatkan tentang pemakanan yang diambil kerana ini adalah untuk anak yang dikandung..

Semasa mengandung, anda bukan sahaja perlu meningkatkan jumlah pemakanan anda, tetapi yang lebih penting ialah apa yang anda makan. Kebiasaannya, wanita mengandung memerlukan penambahan 300 kalori/hari daripada biasa terutamanya semasa trimester terakhir di mana bayi membesar dengan pantas. Penambahan 300 kalori sehari tersebut penting diperolehi daripada makanan yang berkhasiat supaya ia boleh menyumbang kepada pembentukan dan perkembangan bayi.

Mengapa pemakanan sihat penting semasa mengandung

Pernahkah anda terfikir mengapa berat badan anda bertambah 10-15 kg (secara purata) semasa anda mengandung sedangkan berat bayi yang baru lahir hanya ¼ daripada itu? Walau pun ianya berbeza bagi setiap individu wanita yang mengandung, faktor-faktor di bawah menyumbang kepada pertambahan berat badan:

  • Berat bayi : 2.5 – 3 kg
  • Penyimpanan protein, lemak dan nutrien lain yang berlebihan : 2.75 – 3 kg
  • Penambahan darah : 1.5 – 2 kg
  • Penambahan cecair badan yang lain : 1.5 – 2kg
  • Pembesaran payudara : 0.75 – 1 kg
  • Pembesaran uterus (rahim) : 0.75 – 1 kg
  • Cecair amniotik (air ketuban) : 0.75 – 1 kg
  • Plasenta (uri) : 0.5 – 0.75 kg

Selain daripada penambahan berat bayi, faktor-faktor lain juga penting untuk memastikan fisiologi ibu berubah mengikut keperluan ibu mengandung. Corak penambahan berat semasa mengandung bagi individu juga berbeza. Jika anda mula mengandung semasa berat badan berlebihan, berat anda mungkin akan turun sedikit pada awal trimester manakala penambahan akan berlaku bagi ibu yang kurus atau mengandung anak kembar.

Makanan semasa mengandung

Semasa mengandung, apa sahaja yang anda makan dan minum merupakan sumber utama nutrien bagi bayi anda. Pemakanan anda berkait rapat dengan kesihatan bayi sehinggakan kebanyakan doktor menasihatkan supaya tidak mengambil sebarang risiko dengan makan makanan yang berkemungkinan memudaratkan bayi seperti alkohol.

Sama ada anda mengandung atau tidak, diet yang sihat merangkumi protein, karbohidrat, lemak, vitamin, mineral dan air yang mencukupi. Jika anda mengamalkan pemakanan mengikut sistem piramid makanan, ini menunjukkan yang anda berpotensi untuk menjadi individu yang sihat.

Penting bagi ibu mengandung untuk memvariasikan makanannya bagi memperoleh semua keperluan nutrisi ibu dan bayi. Makanan yang perlu dimakan semasa mengandung ialah:

  • Buah-buahan dan sayur-sayuran – target untuk makan 5 hidangan sehari termasuk sebagai snek, jus dan salad.
  • Makanan berkanji – roti, nasi, pasta, ubi kentang. Banyakkan bijirin penuh (wheat, whole grain)
  • Makanan berprotein tinggi – Daging, ayam, ikan, telur, kekacang (soya). Banyakkan makan ikan sekurang-kurangnya 2 kali seminggu.
  • Makanan berkalsium tinggi – Susu, yoghurt, cheese.
  • Makanan berserat tinggi – Jadikan sayur, buah, bijirin dan kekacang sebagai makanan kegemaran kerana ia boleh mengelakkan sembelit.

Piramid makanan

Piramid Makanan

Minum banyak air dan elakkan makanan berlemak dan bergula tinggi seperti kek dan coklat kerana ia mengakibatkan pertambahan berat badan berlebihan dan seterusnya meniggikan risiko mendapat kencing manis (gestational diabetes mellitus)

Jika anda sukakan snek, ambil raisin, biskut bijirin penuh (Jacob’s atau IKO), salad buah, yoghurt atau sebarang makanan bernutrisi yang lain.

Perkara yang perlu diambil berat semasa membeli makanan

Makanan basah seperti ikan, ayam dan daging harus dibeli segar dan dijamin kebersihannya. Pastikan sayur-sayuran dan buah juga segar dan tidak mengandungi pestisid (kebiasaannya, sayur berlubang dimakan ulat atau serangga tiada pestisid). Bagi makanan yang dibungkus atau dalam tin, baca label makanan yang menunjukkan kandungan nutrisi dan kalori makanan tersebut. Terdapat juga label makanan yang memberikan cadangan hidangan yang bersesuaian bagi diet seharian. Apabila anda mengandung, cadangan hidangan bersesuaian juga sebenarnya bertambah seiring dengan keperluan untuk penambahan kalori. Periksa label makanan sebelum membelinya supaya makanan tersebut dapat dipastikan:

  • HALAL kerana makanan akan menjadi darah daging anda dan bayi
  • Berkhasiat untuk kesihatan anda dan bayi

Perhatikan juga tarikh lupus (expiry date) makanan dan pastikan pembungkus / tin makanan dalam keadaan sempurna (tiada kebocoran, tercemar, kemek). Walau pun nampak remeh, tetapi ia sebenarnya penting kerana makanan yang tercemar atau sudah lupus tarikhnya boleh menyebabkan anda keracunan makanan sekaligus boleh memudaratkan kesihatan bayi anda.

Bagaimana anda tahu yang pemakanan anda sihat semasa mengandung

Kunci utamanya ialah dengan mempelbagaikan pengambilan makanan dalam kumpulan yang berbeza-beza (seperti yang dicadangkan di atas) dengan jumlah yang mencukupi. Jangan risau jika anda mengalami alahan yang teruk dan tiada selera makan pada trimester pertama. Keadaan ini tidak akan memberikan impak yang besar kepada bayi anda kerana bayi akan mendapat nutrisi terdahulu daripada anda sebaik sahaja anda makan. Bagi yang mengalami alahan yang mencapai trimester kedua sehingga bersalin, pastikan anda tetap makan makanan berkhasiat- biar sedikit tetapi kerap. Walau pun penambahan berat badan ideal semasa mengandung yang dicadangkan ialah 10-15 kg (kebiasaannya 1.5 – 2.5 kg pada trimester pertama dan 0.25 – 0.5 kg / minggu pada trimester ke -2 dan 3), jangan hadkan diri anda. Sebaliknya, fokus pada pemakanan yang sihat dan seimbang untuk memastikan anda dan bayi sihat.

Tuesday, December 22, 2009

Pemakanan Sebelum Mengandung

Pernahkah anda terfikir bahawa tabiat pemakanan sebelum mengandung penting? Saya ingat hanya pengambilan ubat saja yang perlu diambil berat sebelum mengandung. Tapi, hakikatnya pemakanan bakal ibu juga sgt penting.

Persediaan untuk mengandung merangkumi tabiat pemakanan adalah seperti 4 perkara berikut:

1) Amalkan diet yang baik

  • Tabiat pemakanan yang baik perlu bagi pasangan suami dan isteri kerana ia mempengaruhi kesuburan kedua-dua belah pihak.
  • Pemakanan yang seimbang penting untuk meningkatkan peratusan untuk mengandung dan memperolehi bayi yang sihat.
  • Amalkan setiap hari memakan beberapa hidangan buah-buahan, sayur-sayuran, bijirin dan makanan yang kaya dengan kalsium seperti susu, yoghurt dan keju. Sesetengah vitamin dan mineral seperti vitamin C dan E, zink dan asid folik, penting untuk membentuk sperma yang sihat dan berkualiti.
  • Kekurangan sumber nutrien dalam badan boleh mempengaruhi kitaran haid yang mengakibatkan kesukaran untuk meramal masa subur (ovulasi).
  • Kekurangan berat badan yang drastik dan obesiti boleh megakibatkan ovulasi tidak berlaku.

2) Perkara yang perlu dielakkan

  • Tinggalkan tabiat merokok, meminum alkohol, pengambilan dadah dan ubat-ubatan (Kecuali dengan nasihat doktor. Maklumkan kepada doktor yang anda merancang untuk hamil supaya boleh diberikan ubat yang bersesuaian). Kesemua komponen tersebut boleh mengganggu perkembangan fetus.
  • Kurangkan kadar pengambilan kafein dalam diet seperti kopi. Pakar bersetuju bahawa pengambilan kafein yang kurang daripada 300 mg sehari (bersamaan dengan 3 cawan kopi) tidak akan mempengaruhi kesuburan. Walau bagaimana pun, terdapat doktor yang mencadangkan supaya pengambilan kafein dihentikan terus untuk mengelakkan risiko.
  • Terdapat beberapa jenis ikan mepunyai kandungan merkuri yang tinggi. Merkuri boleh berkumpul di dalam badan anda dan kekal melebihi setahun di mana ia adalah merbahaya bagi bayi anda. Elakkan memakan ikan yang mengandungi tinggi kadar merkuri seperti jerung, todak dan makerel semasa anda mencuba untuk mengandung. Sebaliknya, makan ikan rendah kandungan kalori seperti salmon dan tuna.
  • Daging yang diproses (daging dalam tin, rendang segera, daging salai), sushi mentah dan produk susu tidak dipasteur (keju lembut) harus dielakkan kerana berkemungkinan terdapat bakteria merbahaya seperti Listeria yang boleh mengakibatkan listeriosis (jangkitan disebabkan Listeria) Jangkitan ini boleh mengakibatkan keguguran dan kelahiran pra-matang. Pastikan makanan anda dipanaskan dengan betul untuk mengelakkan listeriosis.

3) Pengambilan suplemen vitamin dan mineral

  • Pengambilan vitamin dan mineral memastikan anda memperolehi asid folik dan nutrien lain untuk meningkatkan kemungkinan anda mengandung. Pastikan anda mengambil suplemen yang dikhaskan untuk bakal ibu kerana terdapat banyak suplemen yang mempunyai dos tinggi yang boleh memberikan impak buruk pada perkembangan bayi.
  • Pengambilan asid folik telah terbukti dapat mengurangkan risiko ‘spina bifida’ (kecacatan salur neural melibatkan pembentukan saraf tunjang yang tidak sempurna), serangan jantung, kanser dan kencing manis pada bayi. Jumlah minimum yang perlu bagi pengambilan asid folik ialah 400 mikrogram sehari. Jika anda mempunyai latar belakang keluarga yang mempunyai kecacatan salut neural, doktor berkemungkinan mencadangkan pengambilan 4000 mikrogram sehari, bermula sekurang-kurangnya sebulan sebelum mengandung sehinggalah trimester pertama kandungan. Suplemen prenatal yang baik seharusnya mengandungi lebih daripada cadangan minimum asid folik, diantara 600-800 mikrogram.
  • Sebagai tambahan, makan makanan yang kaya dengan folate seperti sayuran hijau (bayam), buah-buahan sitrus, kekacang, bijirin, roti dan bijiran yang diperkaya. Asid folik merupakan vitamin larut air, maka badan anda akan membuang yang berlebihan jika anda mengambilnya terlalu banyak. Walaubagaimana pun, pastikan anda masak sayur-sayuran dengan menggunakan jumlah air yang sedikit bagi mengelakkan pembaziran asid folik terlarut dalam air.

4) Dapatkan berat badan yang ideal

  • Kurangkan berat badan jika anda obes dan naikkan jika anda terlalu kurus. Anda perlu mempunyai berat badan bersesuaian dengan julat BMI anda.
  • Terlalu gemuk atau kurus akan menyebabkan kesukaran untuk mengandung.
  • Wanita obes yang mengandung mempunyai risiko mendapat kencing manis dan darah tinggi serta mengalami komplikasi kelahiran.
  • Wanita yang terlalu kurus pula berkemungkinan melahirkan bayi yang kurang berat badannya.
  • Rancang pemakanan yang sihat dengan makanan yang tinggi fiber dan rendah lemak serta mulakan rutin bersenaman. Jika anda obes, target untuk turunkan berat badan ½-1 kg seminggu. Penurunan berat badan yang ekstrem boleh mengurangkan stor nutrient dalam badan yang bukannya cara yang sihat untuk mengandung.

Monday, December 21, 2009

Kadar Kesuburan di Malaysia Menurun Berbanding 1990-an

Assalamualaikum.....
Saya telah melanggan "rahsia mudah hamil" dan saya ingin berkongsi dengan semua pembaca mengenai "kesuburan wanita." Tajuk yang ingin saya kongsikan ini merupakan tajuk yang sangat menarik berkaitan tentang kadar kesuburan di Malaysia menurun berbanding pada tahun 1990an lagi. Kajian telah dibuat oleh pengkaji-pengkaji dari negara barat kerana kekurangan sumber daripada negara kita.

Saya pastekan artikel yang saya perolehi daripada Abu Jarir & Ummu Aisyah berkaitan tentang kajian ini.

Di sini kami ingin berkongsi satu artikel dan statistik yang dilaporkan oleh 'Tabung Pendidikan Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu' (UNICEF). Yang menariknya, laporan ini adalah berdasarkan kajian yang khusus di buat di Malaysia. Statistik yang dibentangkan adalah statistik dari negara kita. Sedikit sebanyak, ia dapat memberikan gambaran terhadap situasi masalah ketidaksuburan di Malaysia. Tujuan kami dedahkan perkara ini bukannya untuk menambahkan kerisauan anda, tetapi ia adalah maklumat yang sangat penting untuk difikirkan bersama.

Laporan ringkas tersebut telah diterbitkan dalam satu ruangan di akhbar Berita Harian pada Ahad, 12 Julai 2009. Senang cerita, kami 'paste'kan artikel ringkas dari akhbar tersebut.

Kadar kelahiran bayi menurun

Oleh Hafizah Iszahanid
bminggu@bharian.com.my

Ketidaksuburan punca pengurangan kepada purata 2.6 anak setiap pasangan

KUALA LUMPUR: Malaysia berdepan risiko bilangan penduduk yang mengecut berikutan kadar kelahiran bayi yang semakin menurun.
Menteri Kesihatan, Datuk Liow Tiong Lai, berkata walaupun pesakit ginekologi di Malaysia bertambah 15 peratus, kadar kesuburan di Malaysia dianggap menurun berbanding 1990-an.
Memetik laporan Tabung Pendidikan Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unicef), Liow berkata, kadar kesuburan di Malaysia adalah 2.6 bayi untuk sepasang suami isteri pada 2007 iaitu penurunan daripada kira-kira 3.6 bayi untuk satu pasangan pada 1990.
Penurunan itu dikaitkan dengan banyak faktor, termasuk masalah ketidaksuburan yang dialami penduduk negara ini.

"Masalah ketidaksuburan itu menjejaskan antara 10 hingga 15 peratus pasangan di Malaysia. Justeru, Kementerian Kesihatan sentiasa menyokong usaha seperti kaedah bayi tabung uji (IVF), "katanya pada sidang media selepas merasmikan sambutan kelahiran bayi IVF ke- 2,000 di Pusat Perubatan Tropicana di Kota Damansara, Selangor, semalam.

Liow berkata, hingga kini ada 30 pusat kesuburan di seluruh negara dengan kebanyakannya bertumpu di pusat perubatan swasta.

Beliau bagaimanapun mengingatkan, dalam keghairahan menawarkan kaedah rawatan kesuburan, semua pusat rawatan kesuburan itu mesti mematuhi peraturan yang ditetapkan Jawatankuasa Penasihat Kebangsaan berkaitan ART (Teknologi Bantuan Reproduktif).


�Antaranya termasuk pendermaan sperma dan telur untuk ART hanya dibenarkan pada golongan bukan Islam dengan syarat penderma sperma mengenali penerima,� katanya.


Selain, kata Liow, pasangan yang melakukan ART tidak boleh memilih jantina bayi yang bakal lahir melainkan ia membabitkan risiko penyakit genetik yang serius.
================================================================
Tahukah anda apa itu ART? ART adalah singkatan dari Assisted Reproductive Technology/Teknologi Bantuan Reproduktif. Ia adalah kaedah moden yang digunakan untuk membantu pasangan-pasangan yang sukar mendapat zuriat. Salah satu contoh ART adalah IVF. Kaedah-kaedah ini akan melangkau proses hubungan kelamin yang normal melalui kaedah-kaedah saintifik bagi meningkatkan peluang kehamilan dan mengatasi masalah-masalah ketidaksuburan.
Dalam ebook Rahsia Mudah Hamil, kami hanya menyentuh sedikit sahaja tentang kaedah-kaedah ART ini. Ini adalah kerana kami bercadang untuk membuat satu penulisan khas tentang ART. Lagipun, teknik-teknik ART seperti IVF adalah jalan terakhir bagi pasangan-pasangan yang sukar mendapat zuriat. Disamping kosnya yang sangat mahal iaitu sekitar RM15,000-RM18,000, kadar kejayaannya juga adalah rendah.
Oleh itu, dalam ebook Rahsia Mudah Hamil, kami lebih menumpukan kepada ilmu-ilmu asas tentang kesuburan. . Walaupun kami katakan bahawa ia adalah ilmu-ilmu asas tentang kesuburan, tetapi hasil maklumbalas yang kami terima dari pembaca-pembaca, banyak perkara-perkara yang kami tulis dalam ebook Rahsia Mudah Hamil itu yang tidak pernah mereka dengar sebelum ini. Salah satu puncanya adalah kurangnya kesedaran tentang pentingnya ilmu-ilmu kesuburan di kalangan rakyat Malaysia. Boleh jadi perkara-perkara ini yang menjadi punca kesukaran untuk mendapat zuriat. Disamping itu, pengetahuan asas tentang kesuburan ini akan memudahkan anda untuk berkomunikasi dengan doktor ketika sesi rawatan.
Oleh kerana ebook Rahsia Mudah Hamil adalah suatu bentuk penulisan yang PERTAMA di Malaysia yang membincangkan khusus tentang masalah ketidaksuburan, tidak sepatutnya anda ketinggalan untuk mendapatkannya. Sila klik link di bawah untuk maklumat lanjut tentang ebook Rahsia Mudah Hamil.
Ikhlas dari,
Abu Jarir & Ummu Aisyah

Thursday, December 17, 2009

Punca Keguguran

Punca Keguguran PDF Print E-mail

MW Bil 871 28 Julai-4 Ogos 2000
PAK BIDAN OH PAK BIDAN
www.timang.org
Kelolaan SITI ZARINAH HUSAIN

Oleh: Prof. Datuk Dr. Hamid Arshat
Pakar Perbidanan dan Sakit Puan

Jika setiap kali wanita mengandung kemudian gugur, bakal suami atau isteri, akan dikaji.

PUNCA KEGUGURAN

KEGUGURAN merupakan salah satu fenomena yang biasa. Bagaimanapun, keguguran merupakan sesuatu yang amat ditakuti bagi setengah-setengah wanita. Ada yang berpendapat, kalau boleh setiap kali mengandung, biarlah sehingga bayi yang dikandung selamat dilahirkan.
Ada di kalangan wanita mengandung dan mengalami keguguran berulang kali. Ikuti penerangan selanjutnya berdasarkan soal-jawab bersama Datuk Dr. Hamid Arshat.

SOALAN: Jika seseorang wanita mengandung dan kemudian mengalami keguguran berulang kali, apakah ini merupakan sesuatu yang normal?
JAWAPAN: Wanita yang mengandung kemudian gugur, ia sebenarnya perkara biasa. Tetapi jika ia berlaku sekurang-kurangnya sehingga tiga kali berturut-turut, wanita ini mempunyai masalah dari segi kesuburan. Khususnya bagi wanita yang masih belum dikurniakan zuriat. Maksudnya setiap kali wanita ini mengandung, dia mengalami keguguran.
Keguguran yang berlaku biasanya wanita mengalami pendarahan. Pendarahan ini berlaku lebih banyak dari pendarahan haid. Namun ada juga yang mengalami pendarahan sedikit sahaja. Bagaimanapun, tak semestinya keguguran berlaku mengeluarkan darah.

SOALAN: Bagaimana pula yang dikatakan keguguran berlaku tanpa mengakibatkan pendarahan?
JAWAPAN: Jika pusingan haid seseorang wanita itu teratur, iaitu sebulan sekali, kemudian jika mengalami kelewatan haid seminggu misalnya, dia sudah boleh mengadakan ujian air kencing.
Jika ujian air kencing didapati positif, bererti wanita itu mengandung. Selepas dua minggu, doktor boleh melakukan scan ke atas kandungan wanita itu. Melalui scan tersebut, segumpal daging akan kelihatan dan di bahagian tengahnya ada denyutan jantung.
Tanda sedemikian akan kelihatan paling lewat sekalipun, dua bulan kandungan ia sudah boleh dilihat melalui scan. Namun, jika denyutan jantung itu tidak dapat dilihat sewaktu scan, biasanya , kandungan itu tidak dapat diteruskan.
Biasanya doktor akan memberi tempoh sehingga tempoh dua minggu lagi. Khususnya untuk wanita yang mempunyai pusingan haid tidak teratur.
Bukan semua orang mengalami pendarahan sewaktu keguguran. Ada kalangan wanita tidak mengalami pendarahan sebagai tanda dia mengalami keguguran. Contohnya, jika doktor melakukan scan, kandungan tidak membesar atau janin didapati tiada, walaupun tiada turun darah. Perkara ini menyebabkan orang percaya kandungan dimakan bunian.

SOALAN: Apakah tanda-tanda tertentu yang boleh menjadi petunjuk bahawa kandungan seseorang wanita itu kuat, atau tidak mudah mengalami keguguran?
JAWAPAN: Sebenarnya menilai kandungan kuat atau tidak, kalau wanita mengandung mengalami loya dan muntah lagi bagus. Maknanya hormon kandungannya itu tinggi, kalau tiada tanda, kadang-kadang kandungan boleh terancam, dan menghadapi banyak masalah. Jadi bagi wanita yang mengandung jangan pandang perasaan loya dan tiada selera makan sebagai sesuatu yang negatif.

SOALAN: Apakah faktor yang menjadi penyebab kepada keguguran?
JAWAPAN: Sebenarnya kalau mengikut kajian, sebahagian besar wanita menganduang mengalami keguguran mungkin bakanya, iaitu kromosom atau gen ada mengalami kerosakan.
Tak semestinya menandakan baka di pihak suami atau isteri mengalami kerosakan, tetapi ketika di dalam proses percantuman benih dan telur berlaku kesalahan. Akibatnya benih dan telur bercantum akan rosak dan akan berlaku keguguran.
Jika setiap kali wanita mengandung kemudian gugur, baka suami atau isteri, akan dikaji. Kadang-kadang salah satu kromosom mereka abnormal. Jika ia berlaku, keadaan ini tidak dapat dibaiki.
Pasangan sedemikian tiada jalan lain selain mengambil anak angkat. Bayi tabung uji boleh dilakukan dengan menggunakan benih penderma, namun kaedah ini tidak dibenarkan dari segi undang-undang dan agama Islam.

Faktor kedua:
Mungkin juga penyakit dalam rahim yang sering dikaitkan endometriasis (rahimnya jatuh ke belakang), dan fibroid juga boleh menyebabkan keguguran berulang-ulang. Wanita yang mengalami penyakit endometriasis dan fibroid ini kadang-kadang mengalami keguguran biarpun usia kandungan sudah mencecah antara 4 hingga 5 bulan.

Faktor ketiga:
Jangkitan kuman pada darah wanita yang mengandung.
Wanita yang mengandung kadang tidak menunjukkan sebarang tanda penyakit atau kesakitan, kemudian mengalami keguguran.
Apabila darahnya diperiksa, darahnya dijangkiti kuman. Kuman pada darah itulah yang merosakkan kandungan. Antaranya seperti kesan beberapa jenis virus CMG, herpes simpleks dan rubela.
Begitu juga dengan sejenis parasit toksoplasmosis yang ada pada badan kucing boleh menyebabkan keguguran. Oleh itu bagi wanita yang sering mengalami keguguran dan memelihara kucing, perlulah sentiasa berhati-bati.
Biarpun kucing peliharaan itu dijaga dengan baik dan bersih, tetapi parasit itu tetap ada pada bulu-bulu kucing dan tidak kelihatan pada mata kasar.

SOALAN: Apakah langkah yang perlu diambil untuk mengelakkan dari keguguran berulangkali ini?
JAWAPAN: Selepas pemeriksaan dilakukan, jika ujian mengesan virus dilakukan dan ia menjadi faktor keguguran, wanita itu perlu mengambil inisiatif untuk memperkuatkan ketahanan diri. Doktor boleh menasihatkannya untuk mengambil vitamin C dalam dos tinggi, dan multi- vitamin E.
Apabila seseorang mengandung sejak dari peringkat awal lagi, amalkan pemakanan berkhasiat, ambil juga asid folik dan vitamin yang disebutkan sehingga kandungan berusia tiga bulan.
Penting juga kalau boleh wanita yang mengandung diberi rehat tiga bulan, dari bekerja. Antara perkara menyebabkan keguguran ialah stress dari segi fizikal dan mental. Ada baiknya jika wanita ini berehat sehingga tiga bulan.
Mereka digalakkan berehat, banyakkan baring dan tenangkan fikiran. Di samping itu, jauhkan persetubuhan kerana adakalanya persetubuhan pada peringkat mengandung boleh menyebabkan rahim kuncup dan mengakibatkan keguguran.

SOALAN: Apakah ada kaedah lain untuk mengatasi masalah ataupun kaedah yang boleh dilakukan bersama rawatan yang diberikan secara moden bagi mengatasi keguguran secara berulangkali ini?
JAWAPAN: Ada setengah cara rawatan pesakit dimasukkan ke hospital, rawatan secara gantian darah protein untuk memperkukuhkan darahnya. Ada juga yang percaya bahawa peranan makhluk halus menjadi penyebab kepada keguguran dan kecacatan. Bagi wanita yang sedang haid memang tidak boleh melakukan solat dan membaca quran, ketika itu gangguan boleh berlaku, khususnya jin. Oleh itu ada baiknya wanita yang sedang haid digalakkan membanyakkan membaca selawat ke atas nabi.
Bagi wanita mengandung dan mudah gugur, sewajarnya memperkuatkan rohani dengan mengamalkan bacaan ayat Kursyi sambil memegang rahim hingga tertidur.

Wednesday, December 16, 2009

Mengenal tanda-tanda kehamilan


Wanita tidak mengetahui dirinya telah hamil hingga pada minggu keempat, kelapan atau kesepuluh. Doktor juga kadang-kadang tidak boleh menentukan, apakah seorang wanita itu sudah hamil atau belum.

Tanda-tanda kehamilan biasanya muncul pada minggu pertama atau kedua setelah tanda-tanda kehamilan bermula. Tanda-tanda awal kehamilan meliputi:-

A. Hilangnya edaran haid
Jika edaran haid lewat dan tidak datang kemungkinan besar ini merupakan tanda kehamilan. Setiap wanita mempunyai putaran haid yang datang pada setiap bulan. Haid tidak datang kerana ovum telah dibuahi oleh sperma suami.

B. Haid dengan pendarahan sedikit.
Pada bulan pertama mungkin anda mengalami haid. Tetapi tanda yang boleh menyatakan bahawa wanita tersebut hamil adalah pendarahan yang lebih sedikit dari biasanya. Kemungkinan lain yang boleh memberi tanda adalah masa haid lebih pendek daripada biasanya. Mungkin haid hanya berterusan selama satu hari atau cuma beberapa jam.

Tetapi jika pendarahan masih terjadi pada kehamilan dalam 10 minggu misalnya, maka sebaiknya membuat pemeriksaan dengan doktor.

C. Bengkak & lembut payudara
Bengkak dan lembut payudara biasanya terjadi dua minggu setelah tanda kehamilan. Bengkak mungkin terjadi pada daerah areola (daerah puting & sekitarnya) atau pangkal payudara. Boleh juga meliputi dada secara umum. Sedangkan lembut payudara meliputi kawasan payudara secara umum.

D. Frekuensi kencing meningkat
Perkembangan nutfah menjadi a'laqah membuat rahim membesar. Pembesaran rahim menekan pundi kencing. Selain itu, aktiviti ginjal menjadi meningkat, sehingga pundi air kencing mudah penuh. Ini menyebabkan frekuensi kencing pada wanita hamil meningkat. Wanita yang mengalami tekanan juga akan lebih kencing dibandingkan wanita hamil normal. Terjadinya tekanan waktu kehamilan ini juga akan mempengaruhi keadaan janin dalam rahim.

Urine biasanya menjadi alat ujian bagi doktor untuk melihat apakah wanita itu sudah hamil atau belum. Urine juga dapat menjadi petunjuk yang tepat sejak kehamilan berusia 14 hari.

Tetapi doktor kadang-kadang masih gagal menentukan apakah wanita itu positif mengandung meskipun kehamilan itu sudah mencapai 10 minggu. Beberapa faktor yang menyebabkan kegagalan itu ialah:-
  1. Urine terlalu hangat
  2. Kandungan urine tidak memadai
  3. Perubahan kerana pengambilan ubatan atau perubahan oleh media.
Urine pada wanita hamil biasanya akan lebih jernih. Tetapi jika terlalu kuning dan mengeluarkan bau yang lebih tajam sebaiknya terus berjumpa dengan doktor. Mungkin terjadi infeksi pada uretha ataupun mungkin apocrine (kelenjar penghasil bau) yang lebih aktif.

E. Kelelahan
Kelelahan atau mudah penat sering menjadi tanda bagi wanita hamil trimester 1. Ia mudah letih & mengantuk. Beberapa wanita menjadi malas untuk melakukan berbagai aktiviti atau suka tidur pada kehamilan trimester 1.

F. Morning sickness
Istilah morning sickness banyak digunakan untuk menunjukkan adanya gangguan seperti mual-mual dan kepala berpinar-pinar yang dialami oleh wanita hamil. Meskipun demikian morning sickness tidak hanya terjadi pada waktu pagi sahaja. Ia juga adakalanya wanita hamil mual-mual dan kepala berpinar-pinar selepas makan. Ada juga yang mengalami morning sickness sepanjang hari dari pagi hingga malam.

G. Merasa kejang
Wanita yang mula hamil dapat merasakan kekejangan pada kawasan perut atau faraj. Perut terasa kaku dan faraj terasa kurang selesa.

H. Perubahan pada pencernaan
Perubahan pada pencernaan boleh mengesahkan terjadinya kehamilan. Wanita hamil biasanya menjadi malas makan, selera makan jauh berkurang daripada biasa. Tetapi boleh juga sebaliknya menjadi suka makan.

I. Perubahan pada rahim
Ada beberapa perubahan yang terjadi pada rahim sejak kehamilan bermula. Salah satu diantaranya adalah perubahan warna pada mulut rahim (cervix) dari pink pucat menjadi kebiru-biruan. Perubahan warna ini disebabkan meningkatnya aliran darah.

J. Perubahan suasana hati (mood)
Berdasarkan kajian Myra Leifer (1977) terhadap sekumpulan wanita yang hamil pada trimester 1, wanita hamil sering mengalami suasana hati. Ia boleh mengalami kenaikan atau penurunan yang cukup kuat pada suasana hatinya.

Wanita dengan keperibadian yang kurang stabil biasanya akan lebih mencemaskan keselamatan dirinya. Kecemasan isteri boleh terjadi jika suami termasuk kumpulan yang tidak mempunyai kematangan peribadi. Keperibadian suami yang tidak stabil dapat membuatkan dia kurang menerima anak sebagai sumber kebahagiaan dan menganggap kehadiran anak tersebut menjadikan hubungan yang renggang dengan isterinya.

Sebaliknya, wanita yang stabil lebih mencemaskan tentang bayi di dalam kandungannya. Wanita yang hamil suka membaca apa sahaja bahan berkaitan dengan kehamilan dan kadangkala mereka mudah terpengaruh dengan informasi yang tidak ilmiah.

Perhatian dan dorongan suami akan membantu isteri dalam mendapat kepercayaan diri dan harga diri. Perhatian suami membuatkan dia lebih yakin untuk menjadi isteri dan bakal ibu untuk anak yang dikandungnya. Keadaan hati dan perasaan isteri banyak dipengaruhi oleh kualiti hubungan suami isteri. Hubungan yang bagus membuat isteri lebih mudah untuk menyesuaikan diri terhadap kehamilannya.

Bentuk-bentuk lain dari segi perubahan emosional adalah sikap manja yang tiba-tiba. Atau merasa kesal sekali terhadap suami tanpa tahu apa sebabnya. Wanita hamil trimester 1 mudah tersinggung meskipun terhadap suaminya.



Senggugut

SENGGUGUT

Sakit ketika datang haid atau senggugut adalah satu masalah yang biasa dialami oleh banyak wanita dan lazimnya dialami oleh gadis yang baru meningkat remaja. Untuk anak remaja keadaan ini digelar ‘ primary spasmodic dysmenorrhea’ dan tidak semestinya menandakan sesuatu penyakit. Di dalam beberapa tahun pertama selepas akil baliq, pusingan haid seseorang gadis masih belum teratur lagi. Haid mungkin akan datang tiga atau empat bulan sekali. Senggugut biasanya mula dirasai 2-3 tahun kemudian.

Rasa sakit sewaktu datang haid ini adalah disebabkan oleh kuncupan rahim yang begitu kuat sekali untuk mengeluarkan ketulan darah haid yang bercampur sedikit tisu daripada selaput endometrium . Darah haid ini perlu keluar menerusi saluran pangkal rahim yang biasanya masih sempit di kalangan gadis remaja.Kuncupan rahim yang kuat ini adalah disebabkan oleh sejenis hormon yang digelar dengan nama “Prostaglandin”. Kesakitan ini berbeza di antara seorang wanita dengan yang lain. Ada yang mungkin rasa sakitnya ringan sementara yang lainnya akan mengalami sakit yang teruk. Jangka waktu sakit juga berbeza, ada yang mengalami sehari, ada pula yang mengalaminya setiap kali datang haid.

Ramai di kalangan wanita yang risau samada senggugut boleh menyebabkan kemandulan. Ini tidak benar dan senggugut biasanya akan hilang setelah gadis berumahtangga dan mendapat anak. Kehamilan dan kelahiran dapat mengatasi masalah kesempitan pada saluran rahim yang menjadi punca pada senggugut. Walau demikian sebahagian kecil dari mereka akan menghadapi masalah ketidaksuburan dan mudah gugur kandungan jika senggugut itu berterusan selepas kahwin. Mereka ini mungkin mengidap penyakit ‘endometriosis’. Ini menyebabkan sakit seperti sengugut tetapi apa yang menyebabkan ia terjadi tidaklah sama seperti sebab sakit senggugut yang biasa.

Gadis-gadis yang mengalami senggugut boleh mengambil ubat penawar sakit/analgesic seperti Panadol, Aspirin, Ponstan, Synflex dan lain lain. Tetapi dalam kes-kes yang lebih teruk, doktor akan memberi ubat penawar sakit yang mengandungi hormon ‘ 'Norethisterone’.

Senggugut jenis kedua ialah ‘congestive dysmenorrhea’ yang biasa dialami oleh wanita yang sudah berkahwin dan melahirkan anak. Lazimya senggugut yang dialami itu lebih teruk dan lebih panjang waktunya. Senggugut ini disebabkan oleh penyakit dan ketumbuhan dalam alat peranakan. Diantara penyakit ini termasuklah ketumbuhan dalam rahim seperti ‘endometriosis’, ‘adenomyosis’, ‘fibroids’ dan jangkitan kuman pada perkakas peranakan. Wanita yang mengalami masalah ini perlu bertemu doktor Pakar Sakitpuan. Kebanyakan daripada mereka menghadapi masalah kurang subur, mudah keguguran, pendarahan yang berlebihan dan berpanjangan atau senggugut yang sangat teruk.